Haji Sholihin Bin Haji Osman. Pemilik nama pena Solihin Osman. Lahir di Kangar, Perlis, Malaysia. Mantan pensyarah senireka grafik, seni halus, penulisan kreatif, teater, Fotografi. Lulusan UiTM, UPSI, dan UUM. Puisinya dimuat hampir di semua media cetak dalam dan luar negara. Menulis 6 buku Puisi dan lebih 500 antologi puisi. Ia juga telah menyelenggarakan 14 antologi puisi bersama. Pernah memenangi Puisi, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Utama Sempena 45 tahun GAPENA, Hadiah Utama Utusan dan banyak lagi. Juga aktif sebagai penceramah dan juri dalam bidang seni, sastera dan budaya di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

BUNGKAM
dalam Pertanyaan

Kumpulkan suara suara
yang tajam yang panas
mari kita menyalak gunung
setelah kau mengerti
batu itu kepala mereka
hatinya mayat mayat durhaka.

Abjad ini dari kolam putih
napasnya surga
bukan seperti dia,
adalah gergasi yang menelan
pohon pohon kebenaran.

Kita perlu membawa baskara
untuk menyuluh perut perut dusta
mereka telah mencaturkan kita
di rumah lagenda.

Perlukah aku pergi?
membawa segala diam yang sunyi
ke pantai persoalan
yang ada hutan tetapi
kehilangan jawapan.

Atau berani itu masih diperam,
sehingga tanah bahagia ini
menjadi ladang puaka
dipenuhi roh buaya!

Kangar, Malaysia.

DI PENTAS RESEPSI

Kami tidak membeli dia
sedangkan kau menjaja ketulusan
di pasar kebatilan.

Di mana mana,
kami melihat mereka menjadi awan
dan sepasang kura kura
menghafal mantera.

Di hadapan tikar usia
ada wang kertas purba
dan seorang gadis
meratibkan mimpinya.

Pagi minggu yang masih merah
hajat tumpah
dan mengalir bersama cahaya.

Tiba tiba,
pencarian ini bertukar penantian
setelah kelopak waktu rontok
menjadi cinta dan rindu.

Dia yang masih hijau
memegang sekuntum janji
yang ditinggalkan oleh embun
di persisiran diri.

Kami masih mencari,
nilai nilai yang masih tersembunyi
tersirat di celah celah anatomi!

Utara Malaysia

LAKARAN
dalam Nawaitu

Kamu telah menjadi tingkap
setelah aku berlari ke pintu
masuk ke dalam kalbu.

Lantai itu siapa?
mereka hanyalah paku
atau serpihan debu debu.

Aku susun akal
menjadi dinding
teguh menentang
sembilu.

Di tangga itu
bersusun pertemuan
bila bayang bayang berlabuh
menjadi tiang.

Ini bukan rumah
cumalah nawaitu
gubahan kata kata
yang tidak menangis
tetapi menderita.

Diakah yang berdiri,
bersama angin dan petir?

Dangau Seni, Kangar, Malaysia

KERUSI FIGURATIF

Dia hanyalah kerusi
tempat untuk berdiri
mengait erti.

Kerusi itu dibina
dari tanah lumpur
seluruh bentala.

Tempat bersandar
ada ukiran
pesanan dari Tuhan.

Bahannya kalis air
kayu dari segala hutan
kebal cabaran.

Hanya satu satunya,
kerusi yang menanti
pelakonnya
untuk beraksi.

Budiman, Malaysia

Penulis: Solihin Osman
Editor: Ayu K. Ardi

Catatan Redaksi:
BILIK ELIPSIS adalah ruang sastra/literasi yang dikelola Majalah Digital elipsis bersama Sekolah Menulis elipsis bekerja sama dengan koran digital InserRakyat.com. Terbit setiap pekan, menayangkan cerpen, puisi, dan esai terkurasi. Kirim naskah ke BILIK ELIPSIS via surel: majalahelipsis@gmail.com.